Showing posts with label cerita. Show all posts
Showing posts with label cerita. Show all posts

Wednesday, February 27, 2013

seorang perempuan super

dia adalah seorang perempuan super.
dia adalah seorang perempuan super yang mampu menjadi pandai dalam masa singkat dengan hanya mengajar diri sendiri  berpandukan sebuah buku yang beberapa muka suratnya hilang entah kerana pekerja kedai yang cuai membuat salinan atau mesin penyalin yang perlu diselenggara.
dia adalah seorang perempuan super yang mampu menjadi pandai dan faham secara automatik tanpa pakar rujukan atau sekurang-kurangnya seorang guru.
dia adalah seorang perempuan super yang mampu membuat kerja laju-laju malah dengan hasil yang super juga.
dia adalah seorang perempuan super yang tak mudah penat malah bersemangat menyelesaikan kerja-kerja yang bertimbun.
dia adalah seorang perempuan super yang mampu selesaikan masalah yang tak dapat diselesaikan oleh orang lain.

dia adalah seorang perempuan super. perempuan super dalam mimpi ketuanya.
kerana dia sebenarnya bukan seorang perempuan super.

print screen dari instagram dena bahrin.
kata-kata semangat untuk perempuan bukan super itu.


Saturday, February 18, 2012

rumah kaca #2

akhirnya dia faham.
penjaga rumah kaca bukanlah kejam. penjaga rumah kaca bukan tidak mahu melepaskan dia dari rumah kaca. tetapi penjaga rumah kaca mahu memastikan dia pergi bersama penjaga baru yang akan menjaga dia dengan cermat seperti mana penjaga rumah kaca telah menjaga dia selama ini.

kerana dia begitu berharga.

hasil carian google. sumber asal : sierrasometimes.tumblr.com


Tuesday, November 29, 2011

mesin yang mencetak perasaan hati

dia tahu di dalam hatinya ada pelbagai rasa yang bercampur baur. tidak terluah. terperap dan memberatkan hati. lalu dia mengambil keputusan mencipta mesin pencetak yang boleh mencetak perasaan hati.
pertama kali mencuba mesin pencetak itu, dia agak risau kalau-kalau mesin itu tidak mampu menzahirkan dengan tepat perasaannya. mujurlah mesin itu menjalankan tugasnya dengan cemerlang. mencetak seratus lima puluh helai kertas yang terkandung segala perasaan hatinya pada hari itu.
dia meninggalkan setimbun kertas itu di atas meja. dia berharap agar penjaga pintu rumah kaca akan membaca setimbun kertas itu. dia berharap penjaga pintu rumah kaca akan berasa kasihan kepadanya. dia berharap penjaga pintu rumah kaca akan melepaskan dia dari rumah kaca.
dia berharap.

Sunday, November 20, 2011

mencuci hati

*entri ini ditaip semula. entri asal yang post semalam hilang tanpa dikesan T__T

dia membuka zip di abdomen. menyeluk tangan dan mengeluarkan sekeping hati. hati yang comot. sememeh. kepam. masam.
lama dia merenung sekeping hati itu. kasihan. hati ini sudah comot rupanya.
dia memasukkan sekeping hati itu ke dalam mesin basuh. dia menuang cecair pencuci dan cecair pelembut (dia mengharapkan agar hatinya tidak keras). dan menambah air secukupnya. dia menekan punat 'CUCIAN HATI' di mesin basuh.
selama empat puluh lima minit dia menunggu dengan sabar sehingga mesin basuh menyelesaikan tugasnya. dia mengeluarkan sekeping hati dari mesin basuh. dia tersenyum riang melihat sekeping hati yang telah bersih dan wangi.
dengan berhati-hati dia meletakkan kembali sekeping hati ke tempatnya. dan menarik zip di abdomen.
dia berharap agar hati itu akan bersih untuk tempoh yang lama. harapnya.

hasil print screen. semalam copy paste terus dari twitter. mungkin ada error.


Tuesday, October 25, 2011

mengharapkan yang indah... dan manis

malam itu hani berasa rawan. air mata menjadi teman. dan mata air juga menemani.
diam-diam hani berdoa semoga dapat mencintai dia dengan sebenar-benar cinta yang bertaut dengan lafaz ijab dan kabul serta didasari kerana Allah.

jika itu yang terbaik buatnya.

Monday, October 17, 2011

rumah kaca

langit kelihatan sungguh biru dengan awan bertompok-tompok dan berbentuk seperti ikan. dia membayangkan langit seperti sebuah kolam yang amat besar. dan awan berbentuk ikan berenang-renang. tapi dalam gerak perlahan.
hamparan rumput kelihatan begitu hijau saujana mata memandang. tentu seronok kalau dapat berlari-lari di padang rumput. dan kemudian bergolek-golek apabila penat berlari.
deretan bunga matahari bagaikan tersenyum dan sekali-sekala menari mengikut rentak angin. pasti bunga matahari berasa gembira dan bahagia di bawah sinaran suria kerana rona kuningnya begitu ceria sekali.
rama-rama terbang riang dan hinggap dari satu bunga ke satu bunga yang lain. dan sesekali menari tarian cinta bersama haruman bunga yang menggoda.
burung-burung terbang berpasangan. hinggap di dahan sambil melantunkan nyanyian disulami jelingan nakal.
semuanya kelihatan indah. sempurna.
dia ingin sekali menikmati semua keindahan itu. atau barangkali menjadi bunga matahari yang bahagia bersama suria. atau mungkin juga menjadi rama-rama berwarna-warni yang terbang riang. atau setidak-tidaknya menjadi burung-burung yang menyanyikan irama hati.
tapi semua itu hanya tinggal mimpi. kerana dia terperangkap dalam rumah kaca. sendirian.

gambar hasil carian dengan Google :)


Wednesday, June 15, 2011

menggantung mimpi

gula-gula kapas yang tersangkut di celah awan itu sudah lama menjadi idamannya.
dia tidak pernah jemu dan tidak akan jemu untuk terus memerhati gula-gula kapas merah jambu pucat itu. pernah juga dia bermimpi dia dapat terbang dan menggapai gula-gula kapas yang tersangkut di celah awan dan menikmati rasa manis yang larut di lidah.
dia mengumpulkan mimpi-mimpi tentang gula-gula kapas dan menyimpannya baik-baik dalam uncang yang berwarna ungu. harapannya satu hari nanti dia mahu terbang tinggi dan bergolek-golek di atas awan dan mencantum perca-perca mimpi menjadi satu hamparan yang besar. dan indah.
hari itu cuaca begitu nyaman. matahari tersenyum malu-malu. dia sudah bertekad untuk mengapai gula-gula kapas hari itu juga.
dia mengepak-ngepakkan sayap hitam berkilatnya. sekilas dia mendongak ke atas. memandang gula-gula kapas yang seakan-akan melambai-lambai kepadanya. dia memeluk uncang ungu yang berisi mimpi erat-erat.
dia memejamkan mata seketika sambil mengepak sayapnya kuat-kuat. dengan sekali loncat dia terus terbang. tinggi. tinggi dan makin tinggi.
hatinya berlagu girang. gula-gula kapas merah jambu pucat dilihat semakin hampir dalam jangkauannya. terbayang akan kemanisan gula-gula kapas yang mencair dalam mulut. dia semakin tidak sabar.
entah bagaimana, uncang yang berisi mimpi tiba-tiba terlucut dari pelukannya. tergamam dia melihat mimpi-mimpi yang berhamburan keluar dari uncang ungu. melayang-layang bagai daun kering ditiup angin. dia kalut mengumpul semula mimpi-mimpi. sehingga tidak sedar dia terbang semakin rendah. rendah dan semakin jauh dari gula-gula kapas.
saat dia mengumpulkan perca mimpi yang terakhir dia sudah kelelahan. sayapnya sudah tidak mampu mengepak sekuat tadi. akhirnya dia mengambil keputusan untuk pulang sahaja.
dengan mata berkaca-kaca dia memandang gula-gula kapas yang tersangkut di celah awan.
rupanya tidak mudah untuk menggapai gula-gula kapas merah jambu pucat itu. jauh. sangat jauh dari jangkauannya.
dengan rasa kesal dia menggantung uncang yang berisi mimpi di dinding kamarnya. dan menggantung sekali impiannya untuk merasai manisnya gula-gula kapas.
dia tidak tahu apakah satu hari nanti dia akan dapat menggapai gula-gula kapas. atau terus menggantung mimpinya sehingga bila-bila.

Wednesday, April 13, 2011

rasa manis dalam hati

manis.
bukan di lidah. tapi dalam hati.
dia berdoa semoga rasa manis itu kekal. dan semoga hatinya tetap begitu. tidak berbolak balik.
dan hati orang itu juga...


(dia berdoa...)

Thursday, April 7, 2011

hani tidak gembira =(

semalam hari yang tidak gembira buat hani.
dulu-dulu, apabila tidak gembira hani akan melencong ke tasik titiwangsa sebelum pulang ke rumah. melihat langit yang biru dan air tasik yang berkaca-kaca sambil mencuci mata melihat jejaka berbadan tegap berjogging.
tapi semenjak kejadian keretanya diekori persona kelabu, hani kurang teruja mengunjungi tasik titiwangsa. cuma bila terasa mahu lari dari segala perkara tidak best, atau bila teringin melihat air tasik yang berkaca-kaca, baru hani menjenguk tasik itu.
hani memang suka air. air sejuk dan menenangkan. hani berangan-angan membina rumah berhampiran laut. atau tasik. atau sungai. atau apa-apa sajalah. janji bukan loji.
semalam hani teringat tasik titiwangsa yang sudah lama tidak dijengah.
hani tidak sabar mahu cepat-cepat pulang. mahu melihat air yang berkaca-kaca juga jejaka berbadan tegap berjogging. hani sudah jemu menghadap segala perkara tidak best yang terhidang. menyampah.
tapi...
semalam hujan. bila hujan, jalan akan mula sesak dengan kenderaan seperti semut yang bergerak dalam barisan. hani memujuk hati. tidak dapat tengok air tasik, air hujan pun jadilah.
malam itu hani masih tidak gembira. berasa letih mengenang perkara tidak best. terasa mahu lari tapi hari sudah malam. nanti emak ayah risau pula.
mesej-mesej yang masuk ke dalam peti mesej telefon bimbit pun hani tidak balas. hati beku dan jari kaku untuk memicit-micit butang telefon genggam.
waktu itulah ada mata air yang muncul. sejuk dan menenangkan. hati yang beku mula mencair lalu menerbitkan senyuman di bibir.
dan malam itu hani tidur dengan senyuman yang masih berbaki.


Tuesday, February 15, 2011

hani lempengnya hangus

*ini bukan lagu ya.

sekarang ini ramai orang sudah ada belog sendiri. sana sini orang sibuk berbelog. di pejabat, di sekolah, hatta di dalam tandas sekali pun jika berkesempatan.
hani pun teringin punya belog dia sendiri. sahabatnya, rihana juga sudah punya belog sendiri. penuh dengan kisah-kisah lucu, kisah-kisah dunia khayalan dan juga kisah-kisah yang bisa membuat air matanya menitik.
akhirnya hani punya belog sendiri. belog hani biasa-biasa. tiada kisah politik. tiada cerita skandal artis. tiada cerita hantu. biasa-biasa. cuma berkisar kisah-kisah di sekelilingnya. apa sahaja yang terlintas di fikiran, itu yang akan ditaipnya. bila ideanya mencurah-curah, makin laju jari-jemarinya menaip.
pagi itu, hati hani rasa bagai digaru-garu untuk menulis sesuatu di dalam belognya. tapi idea tidak begitu lancar. tersekat-sekat. berpusar-pusar dan hilang. tenggelam timbul. makin dicuba makin letih. dan perutnya mula berdendang minta diisi.
hani menjenguk dapur. dia berkira-kira untuk membuat lempeng. lempeng tepung yang ringkas. sambil menyediakan lempeng, fikirannya juga ligat. idea yang berpusar-pusar tenggelam timbul makin lama makin jelas.
lekas-lekas hani menaip di dalam belog. kejap-kejap dia menjenguk lempeng dalam kuali leper. kejap-kejap dia menaip.
saat itu pula idea begitu lebat. bertali arus. jari-jemari juga semakin pantas mengetuk-ngetuk papan kekunci. begitu asyik hani menyiapkan entri bertajuk 'apa dalam fikiran anda?'.
noktah terakhir. hani senyum puas. entri itu berjaya disiapkan akhirnya. senyuman hani dengan pantas pudar apabila hidungnya terbau benda hangit.
alahai...

Monday, February 14, 2011

langit dan laut

*bukan cerita kekasih gelap. maaf.
 
rasa mahu lari ke suatu tempat yang ada langit dan laut. dan segala-galanya biru. bersama matahari yang tersenyum dan awan yang bermain kejar-kejar dalam gerak perlahan.
dan membawa bersama mesin yang boleh mencuci hati. menyedut segala daki, kotoran, lendir yang terpalit supaya hati akan jadi putih suci semula. seperti bayi.

Wednesday, September 29, 2010

saya rindukan awak

hari ibu tahun 2010. itu adalah hari saya bertemu awak.
awak memang kurus tapi menarik. tapi bukan itu sahaja sebabnya saya sukakan awak. mula mula saya tidak kenal awak. sebenarnya awak bukan pilihan pertama saya (maafkan saya kerana berterus terang). tapi mungkin sudah ditakdirkan awak menjadi milik saya.
saya bagai tidak percaya saya berjaya memiliki awak. siapalah saya ini. antara kita jauh berbeza. awak kurus, saya tembam. awak menarik, saya tidak menarik. awak gelap, saya cerah sikit. tapi walau apa pun perbezaan kita, saya bahagia.
setiap momen momen gembira kita abadikan bersama. dan sewaktu sedih awak juga berada di sisi. awak juga yang setia sewaktu saya sibuk bekerja. awak tidak pernah merungut. dan tatkala saya terlupa, awak juga yang mengingatkan saya. saya sangat sangat sayangkan awak.
sebelum bertemu awak, saya sudah punya teman. tetapi saya tinggalkan dia demi awak. ya, demi awak. walaupun awak ada kekurangan tapi saya tak peduli. bagi saya awak jauh lebih baik dari teman lama saya.
tapi... benarlah malang itu tidak berbau.
sewaktu sedang bergembira bersama kawan saya, sesuatu berlaku pada awak. tapi saya terlambat menyedarinya. awak jatuh sakit. betapa sedih hati saya sewaktu mendapati badan awak panas. dan awak tidak sedarkan diri. 
segalanya kelam. kelabu. kosong.
saya menyesal kerana tidak menjaga awak baik baik. saya menyesal kerana menyebabkan awak sakit teruk tapi segalanya sudah terlambat.
awak koma.
setiap kali melawat awak saya berharap awak akan sedar. pernah satu hari saya menyentuh awak dengan lembut, dan berharap harap sangat sentuhan saya akan menyedarkan awak. saya terlalu berharap. awak tahu, saya menangis melihat awak. dan terus menangis. sedarlah awak! sedar!
tapi awak masih seperti itu juga.
kelam. kelabu. kosong.
saya berusaha juga untuk merawat awak. tapi saya dikhabarkan kos rawatan agak mahal. malang sekali saya tidak punya wang yang banyak untuk merawat awak.
dengan berat hati saya terpaksa membuat keputusan. maafkan saya, sayang. saya terpaksa merelakan awak lena dalam tidur yang panjang.
saya akan rindukan awak.

opsss... ini bukan gambar awak
ya, ini awak sedang koma :(
untuk imbas kembali, sila baca ini.

Friday, August 6, 2010

cerita budak budak 2

ini cerita budak muka kaku.
sukar senyum. kaku tanpa perasaan. seperti terlebih suntik botox.
budak muka kaku selalu sendirian. selalu ditinggalkan.
budak muka kaku selalu diam. suara perlahan seperti kehabisan bateri.
tapi... itu hanya di 'sekolah'.
di luar, budak muka kaku berbeza sama sekali.
sangat suka ketawa. berjenaka. menyakat.
jarang bersendirian. suka berkepit.
becok dan riuh. ketawa tak ingat dunia.
aneh.
dua personaliti berbeza dalam satu jasad yang sama.

cerita budak budak


budak gemuk itu menekup muka pada bantal. bila berasa lemas dia menonggeng pula. ah, mata tetap juga tak mahu lelap.
wajah budak lelaki mata sepet berjoget di dalam kotak fikirannya. entah mengapa tiba-tiba budak gemuk itu terkenang pada budak mata sepet itu. sudah lama tidak bertemu budak mata sepet. entah apa khabarnya sekarang. makin kacakkah dia? atau sudah 'membesar' seperti badan budak gemuk itu?
seingat budak gemuk itu, kali terakhir dia melihat budak mata sepet itu di perhentian bas yang penuh sesak dengan orang. tapi dalam ramai-ramai orang, mata budak gemuk itu dapat menangkap susuk tubuh budak mata sepet.
dia masih ingat lagi, dulu-dulu dia tak segemuk sekarang. badannya comel-comel. dan budak mata sepet itu pula memang comel. dia sangat suka melihat budak mata sepet senyum. dan dia paling suka bila budak mata sepet memandangnya. panahan mata sepet itu seperti menghantar renjatan elektrik ke seluruh tubuhnya. dia jadi kaku dan bisu. dan jantungnya berdegup 5 kali lebih pantas dari kebiasaan sehingga dia terasa jantungnya seakan-akan mahu berlari ke jantung budak mata sepet.
tapi hanya setakat itu. bicara mata tanpa suara. dan rupanya pertemuan di perhentian bas itu adalah yang terakhir. tidak pernah bertemu lagi. hanya pandangan mata yang menghantar langkah kaki budak mata sepet sehingga hilang di tengah-tengah orang ramai.
entah mengapa budak gemuk itu tiba-tiba berasa rindu. aneh. janggal.
budak gemuk itu masih tidak dapat lelap. masih terfikir akhir sebuah rindu. apakah akan ada lagi pertemuan seperti encik anggur hitam dan cik lemon yang bersatu akhirnya. atau mungkin dia akan terus menjadi perindu aneh yang gemuk. dan sepi.
saje je letak. bukan iklan ribena. bukan.

Wednesday, June 23, 2010

hani keknya rangup

tajuk entri ini diambil dari tajuk lagu hani lempengnya hangus tapi cerita ini tiada kena mengena dengan lagu tersebut.

esok hari jadi elly. sambil jari-jemari mengetuk-ngetuk papan kekunci dan sesekali tersengguk-sengguk hampir tersembam depan pc, sempat dia terfikir rancangan untuk meraikan hari jadi kawannya. rasa-rasa dia nak merajinkan diri membuat kek. elly pernah sebut tentang kek coklat lembap yang dibuat oleh rihana. elly betul-betul terliur dengan kek coklat yang gebu-gebu itu.
tepat 4.30 petang dia bergegas punch kad. ingatannya hanya tertumpu pada kedai yang menjual barang-barang membuat kek. dia berkira-kira ke mana harus dituju. teringat pakcik gugel pernah cakap kedai yang terdekat dengan rumahnya di taman intan dan taman visiting.
laju dia memecut kereta hitamnya yang berhabuk-habuk tak berbasuh. sudah lama dia tak pergi taman intan. dia sendiri tidak pasti di mana letaknya kedai dengan papan tanda warna oren. berpusing-pusing dia mencari kedai itu sampai dia tersilap masuk jalan. tersipu-sipu dia berpatah balik sambil diperhatikan abang-abang berkemeja hitam yang sedang lepak di restoran tepi jalan.
hampa. kedai yang dicari tak juga ditemui. lalu dia terus menuju ke taman visiting. sekali lagi dia menggaru-garu tudung kepala. dia juga sudah lama tidak pergi taman visiting. dia terpaksa berpusing-pusing. nyaris-nyaris tersilap jalan lagi.
waktu dia berkira-kira mahu pulang dengan tangan kosong dia ternampak papan tanda warna oren. ya! matanya membulat bersinar-sinar macam mata shin chan.
dia rasa sangat seronok dapat membeli barang-barang yang dihajati sampai dia tak sedar dia terlupa menaikkan cermin tingkap. mujur kereta hitam berhabuknya tak hilang. dan mujur cermin itu ternganga tak berapa luas.
lepas maghrib dia memulakan misinya. tercangak-cangak dia menyukat bahan-bahan. mujur rihana ada bagi tips. dengan yakin dia membancuh semua bahan hingga jadi adunan coklat pekat berkilat. sudah lama dia tak membuat kek. harap-harap jadi. sambil tangan mengacau adunan sempat dia berangan. esok dia akan bawa kek ke pejabat. dia nak suruh elly pelawa abang enrique makan. sambil tu elly boleh promote dia pada abang enrique. mesti abang enrique akan senyum-senyum kat dia. atau paling seronok kalau abang enrique ajak makan tengah hari sama-sama. hihi...
keknya sudah selamat bersauna dalam oven. 35 minit kemudian dia menjenguk tapi keknya tak naik. aiseh! oven itu tak cukup panas di tengah-tengah. dia mengalih-alih kek supaya panasnya sekata. dia naikkan lagi suhu oven jadi 210 darjah celcius. 15 minit kemudian keknya menggelembung tinggi di tengah-tengah. dia cucuk-cucuk bahagian kek yang gendut. oh, belum cukup masak.
beberapa minit kemudian bahagian yang gendut sudah rata seperti baru lepas minum teh pelangsing. tapi bahagian tengah kek retak tiga seperti lambang mercedes. kek itu belum sejuk betul tapi dia dah terliur nak rasa. dia potong sikit kek dan masuk dalam mulut.
ish...ni kek ke biskut? rangup pulak.
tet! tet!
oh, ada sms dari elly.
"hani, i demam. esok MC."
waaaaaaaaaaaaa~

moral of the story: niat tak baik yang terselit di celah-celah niat baik, hasilnya tak berkat. huhu...

Monday, June 7, 2010

hujung minggu yang wangi...


hujung minggu datang lagi.
hujung minggu kali ini manis dan wangi. hari itu, budak perempuan montel yang selekeh menjelma menjadi perempuan lawa. semuanya kerana pertolongan si pari-pari yang menempek serbuk-serbuk magik di wajah budak selekeh itu. sungguh budak perempuan itu tidak percaya melihat pantulan mukanya di cermin. berubah 360 darjah. macam anak itik hodoh menjadi angsa cantik.
budak perempuan itu menunggang kuda hitam berteman pari-pari selepas jenuh menunggu putera kacak menunggang kuda putih yang entah bila akan muncul. barangkali lesen menunggang kuda putera sudah luput sebab itu putera tak muncul.
ini bukan putera idaman budak perempuan selekeh. sekadar gambar hiasan.

budak perempuan itu sangat kagum melihat istana yang besar dan mewah itu. seumur hidupnya, itulah istana paling glamer yang pernah dia jejaki. sempat budak perempuan itu berangan bagaikan puteri. memang benar-benar puteri. puteri tidur - itu gelaran yang diberi kawan budak perempuan itu kerana salah satu kesukaan budak perempuan itu adalah tidur.
dalam latar putih suci dan merah jambu yang manis, mata budak perempuan itu menangkap susuk tubuh putera bersut putih dan berdada bidang. kacak. begitu asyik budak perempuan itu merenung sehingga tidak sedar air liurnya menitik ke dalam gelas dan bersatu dengan air merah berperisa nenas.
sayang sejuta kali sayang. putera langsung tak menyedari kewujudan budak perempuan itu dalam perhimpunan manusia di istana itu. budak perempuan itu sedar diri. tubuhnya yang montel dan rendang manakan mungkin dapat menarik perhatian putera. tetapi budak perempuan itu tetap bertekad untuk mendekati putera walaupun sekadar dapat mencium wangi ketiak putera pun sudah memadai.
budak perempuan itu cuba bersabar. bersabar menunggu peluang mendekati putera. putera begitu sibuk melayan tamu. sekali-sekala putera melempar senyum pada hadirin yang membuatkan budak perempuan itu terpesona dengan kemilau putih gigi putera yang mungkin hari-hari ditenyeh ubat gigi cap kolget.
tetamu mula beransur pulang tapi budak perempuan itu masih belum mendapat peluang untuk mendekati putera. budak perempuan itu tak mahu terburu-buru kerana dia tidak mahu putera itu lari menjauhinya.
dalam sabar menunggu itu, mata budak perempuan itu tak lepas memandang bunga-bunga ros merah, merah jambu dan kuning yang bertebaran di seluruh istana. wangi bunga ros seolah-olah mencucuk hidung budak perempuan itu menariknya mendekati bunga-bunga ros seperti lembu dicucuk hidung.
sedang asyik melayan bunga ros, pari-pari berbisik. serbuk magik semakin pudar magiknya. dan serbuk magik mula bersememeh di bawah mata. saling tak tumpah seperti solekan emo. budak perempuan itu resah. dia tak mahu kelihatan hodoh di depan putera.
saat itu baru ingatannya terpaling dari bunga ros mengingati putera. ke mana hilangnya putera? budak perempuan itu ingin mencari putera tetapi ditahan oleh makcik yang menjual balang ajaib. riuh mulut makcik itu mempromosi balang ajaibnya tetapi budak perempuan itu tidak berminat. hati dan fikirannya hanya pada putera.
tapi jejak putera tidak dapat dikesan. sedih dan kecewa. susah payah budak perempuan itu menahan air mata dan hingus yang mengintai dari celah lubang hidung.  dia tidak mahu imej perempuan lawa menjadi perempuan lawak. budak perempuan itu memetik tiga kuntum ros dalam tiga warna untuk memujuk hatinya yang lara. harapannya semoga haruman ros itu mendekatkan hatinya dengan putera.
tiga kuntum bunga ros mula layu dahagakan air. pari-pari merendam tangkai ros dalam air magik untuk melambatkan bunga ros layu. hati budak perempuan itu begitu kepingin membawa bunga-bunga ros pulang bersamanya tapi budak perempuan itu bimbang bunga-bunga ros akan rosak semasa dia menunggang kuda hitam. dengan berat hati budak perempuan itu terpaksa meninggalkan bunga-bunga ros di teratak comel milik pari-pari selepas pari-pari berjanji untuk menjaganya.
budak perempuan itu memacu laju kuda hitamnya. ingatannya melayang pada putera kacak berdada bidang. kuda hitam pantas berlari meninggalkan teratak pari-pari. dan meninggalkan wangi bunga ros yang melekat di hati.

Wednesday, April 28, 2010

ikhlas...

*entri ini ditaip smlm tp x smpt nk publish*
huu...baru ari ni muke ku terpampang kt ofis ni...aduyaiii dgn x smgtnye... rase cam nk sambung cuti je...
yahoo!!! aku dh abes exam... smlm last paper... aku mls nk pk pasal result. the truth is : aku cume smpt bace topik 1 (out of 8 topics) utk subjek smlm... jeng2.. so pandai2 la aku merapu dlm esei smlm hahaha...
pagi ni masuk keje, aku trus check email... mane tahu kot2 ade keje tambahan ke..isk... pastu dpt biter x best - kne g kursus 5 hari next week... huaaaaaaa... x relaaaaaaaa... dh la mak ayh br blk umrah... x smpai seminggu nk bermanje dh kne g kursus... apekah aku ini sgt perlu diKURSUSkan atau perlu diKURUSkan atau kedua-duanya sekali? haishhh...merapu plak...
dlm busan2 + ngantuk2 wat keje tu aku rajin2 diri check emel opis setiap jam... tup2 dpt emel psl luahan x puas hati sorg staff... ade unsur2 sensasi... aku bace je la... x lame pastu ade blsn emel tu dr staff lain... wah, rase cam nk jd panas je citer tu... then ade sorg staff bls, siap selit sebuah citer yg menginsafkan aku... sgt menarik utk dikongsi bersame...
(p/s : staff tu dpt citer ni dr kwn dia.. aku dh mintak izin nk letak dlm blog ni... hayatilah...)

ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?
Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu.
Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

"Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini," kata seorang kakak berterus-terang.
"Mengapa?" balas saya.
"Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja."

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, "kakak punya berapa orang anak?"
Sengaja saya bertanya soal-soal "di luar kotak" agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
"Oh ramai encik."
"Bagaimana dengan anak-anak kakak?"

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya.
Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
"Kakak, boleh saya bertanya?"
"Tanyalah encik." ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya.
Memang, semua anak-anaknya menjadi.

"Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang "menjadi" dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?"
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, "antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?"

Dengan cepat kakak itu menjawab, "hati ibu encik. tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat.
Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!"

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
"Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran." kata saya perlahan. Hampir berbisik.
"Maksud encik?"
"Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi."
"Tidak pernah saya terfikir begitu encik."

"Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia.
Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah."
"Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?"
"Maksud kakak?"

"Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?"
"Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri.
Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!"

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.
"Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita.
Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita."

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.
"Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong.
Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?"

Kakak itu tersenyum dan berkata, "tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya."
"Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?'
"Pasti ada! Insya-Allah."
"Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong.
Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita. Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi."

"Subhanallah!"
"Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya.
Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini."
"Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?" tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

"Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!"
"Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat."
"Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi."

"Maksud encik?"
"Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup.
Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia.
Dan paling penting. hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan."
"Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!"

Giliran saya pula tersenyum.
"Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah.
Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja. pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back.
Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga.
Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!" terang saya panjang lebar.

"Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?"
"Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our "ceo", kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan."
"Maksud encik?"

"Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya."
"Kenapa?"
"Kita akan sakit jiwa!"
"Kenapa?"
"Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur," balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

"Tetapi Allah tidak berhenti memberi. " kata kakak itu perlahan.
"Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi. Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?"
"Ah, kita terlalu ego."

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa "diperingatkan" semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan. orang ikhlas tertindas?