Friday, March 22, 2013

telinga berkuasa bateri juga tidak dapat membantu

setiap kali telefon di mejanya berdering dia berasa fobia.
fobia untuk menjawab panggilan.
jika bernasib baik, dia boleh dengar sikit-sikit percakapan pemanggil di hujung talian lagi satu.
dia akan meminta maaf di atas kekurangannya dan memberi nombor telefon pegawai lain kepada pemangil.
jika tidak bernasib baik, pemanggil akan marah-marah walaupun dia sudah terangkan kekurangan dia.
entahlah.
lepas itu, dia pasti rasa down. dan berasa tidak berguna.
dan tiba-tiba dia teringat kata-kata perempuan berwajah garang empat tahun dahulu.
"you tak sepatutnya masuk sini. diorang sepatutnya tempatkan you kat kementerian atau tempat lain."
kata-kata yang membuatkan dia berasa tidak dialu-alukan.
hari ini dia berasa seperti kata-kata itu memang betul.

ah.. betul-betul down.


Tuesday, March 12, 2013

melonjakkan semangat yang semakin merudum

perempuan bukan super itu mahu menjerit 'YOROSHI QUEEN' sambil meluruskan telujuk ke depan (mengikut gaya yoroshi queen dalam cerita jepun entah apa tajuknya sudah lupa).
tetapi...
tidak ada keberanian untuk berbuat sebegitu.
hanya mampu menjerit dalam hati.

Wednesday, February 27, 2013

seorang perempuan super

dia adalah seorang perempuan super.
dia adalah seorang perempuan super yang mampu menjadi pandai dalam masa singkat dengan hanya mengajar diri sendiri  berpandukan sebuah buku yang beberapa muka suratnya hilang entah kerana pekerja kedai yang cuai membuat salinan atau mesin penyalin yang perlu diselenggara.
dia adalah seorang perempuan super yang mampu menjadi pandai dan faham secara automatik tanpa pakar rujukan atau sekurang-kurangnya seorang guru.
dia adalah seorang perempuan super yang mampu membuat kerja laju-laju malah dengan hasil yang super juga.
dia adalah seorang perempuan super yang tak mudah penat malah bersemangat menyelesaikan kerja-kerja yang bertimbun.
dia adalah seorang perempuan super yang mampu selesaikan masalah yang tak dapat diselesaikan oleh orang lain.

dia adalah seorang perempuan super. perempuan super dalam mimpi ketuanya.
kerana dia sebenarnya bukan seorang perempuan super.

print screen dari instagram dena bahrin.
kata-kata semangat untuk perempuan bukan super itu.


Wednesday, February 13, 2013

bukan dalam kasut yang sama

dia berasa agak janggal.
kerana dia berbeza.
berbeza kerana dia dalam kasut yang lama. kasut yang sama.
sedangkan yang lain sudah berkasut baharu.
dia berasa malu juga.
kerana rasa malu itu, dia selalu ingin menyorok.
kerana dia tahu.
dia bukan dalam kasut yang sama.
seperti mereka.

teringin nak ada kasut merah macam ini. hoo~
(gambar ambil dari pakcik gugel)


Tuesday, January 29, 2013

diam

diam.
adakalanya diam lebih baik andai tutur bicara yang diluahkan bisa mencederakan hati dan perasaan.
adakalanya diam lebih baik saat amarah menguasai supaya tutur bicara yang terluah tidak menjadi seperti paku di dinding. meski dicabut paku, kesannya kekal dan dinding menjadi hodoh berlubang tidak sama seperti asal.
tetapi adakalanya diam boleh menyeksa.
membuat orang tertanya-tanya.
kerana kita hanya manusia biasa yang tak mampu menebak isi hati dan fikiran orang lain.
bersuaralah. andai diam hanya menyeksa. andai diam tidak dapat menyelesaikan masalah.
bersuaralah. 
kerana manusia itu bukan dicipta untuk hidup bersendirian di dunia ini.

Monday, January 21, 2013

hai?

kalau setakat kemaskini belog dengan menyapa "Hai" saja, memang tak payah kemaskini pun tak apa. hahaha~
lama sudah menyepi. malas mahu buka belog sendiri apatah lagi berjalan mengunjungi belog-belog lain. ada tak ada pun, menjengah belog kawan-kawan tapi sebagai pembaca senyap.
sebabnya, dah tahu mesti akan jumpa benda yang membuatkan hati rasa tidak best. sangat tidak best dan bisa menumpahkan air mata. *rosak mekap aiii..(tiba-tiba)*
tapi rasa rindu juga mahu taip segala benda merapu, cerita merepek dan entah apa-apa ikut saja mood waktu itu. mungkin nanti tiba-tiba datang semangat mahu menaip entri belog. mungkin juga tiba-tiba jadi rajin nak kemaskini belog. mungkin juga tiba-tiba jadi teramat malas dan semakin berhabuk belog ini. mungkin. mungkin. mungkin.
ok lah. Selamat Tahun Baru. walaupun sudah hampir sebulan tapi tetap juga mahu ucap. sengih.

Tuesday, August 28, 2012

mahu beli

kalaulah keberanian itu ada dijual di pasaraya, dia mahu beli seguni.
pasti beli. 

(atau mungkin berguni-guni untuk bekal waktu-waktu kecemasan.)