Thursday, April 9, 2009

Pinjaman untuk bakal kereta ku

Sudah lama aku berkira-kira mahu memiliki kereta sendiri; untuk berdikari, untuk kemudahan dan langkah ke arah mengumpul harta. Sudah jenuh aku berangan-angan, bermimpi, berfikir, mencongak-congak, dan setelah aku yakin aku mampu untuk memiliki kereta tanpa mengeringkan simpanan kecemasan ku, maka aku memulakan langkah meninjau-ninjau kereta.
Sesudah ku tetapkan kereta apa yang mahu ku beli (walaupun mulanya agak pening untuk menentukan yang mana satu pilihan hati), kini tiba masanya untuk menentukan cara pembiayaan untuk kereta. Aku lebih cenderung untuk memilih pinjaman bank tapi nampaknya ayah ku mahu aku memohon pinjaman kerajaan. Walaupun dia tidak memaksa dan dia seolah setuju dengan usulku utk memohon pinjaman bank, namun aku tahu pastinya pilihan pertamanya adalah pinjaman kerajaan. Ah, ayah ku itu... adakala aku terasa dia selalu mencampuri atau tepatnya membuat keputusan dalam hidup anak-anaknya, tapi ku tahu niatnya baik. Cuma aku kurang selesa dan kurang setuju dengan caranya itu.
Berbalik pada pembiayaan untuk bakal kereta ku (mudah-mudahan hendaknya...), aku masih menimbang-nimbang untuk memilih bank apa. Sebentar tadi ayah ku mencadangkan Maybank. Tapi entah kenapa aku sukar untuk bersetuju dengan pilihan itu. Mungkin kerana pengalaman kurang enak semasa membuka akaun Maybank dahulu. Ah, kalau bukan kerana keperluan pelajaran, rasa-rasanya aku tak mahu menjejak kaki ke sana.
Aku tertanya sebenarnya di mana tahap profesionalisme staf Maybank yang berurusan dengan pelanggan. Tika itu, aku pelajar lepasan sekolah yang baru melangkah ke menara gading. Aku tidak arif tentang urusan-urusan membuka akaun. Seorang staf wanita yang melayan aku. Aku sebenarnya tergolong sebagai OKU (Orang Kurang Upaya) kerana kecacatan pendengaran atau tepatnya separa pekak. Mungkin kerana kurang sabar, staf wanita itu menengking ku. Beberapa pelanggan berhampiran memandangku membuatkan aku berasa malu.
Perasaan malu masih bersisa tika aku melangkah keluar dari bank usai urusan ku. Aku mengadu pada rakan baik ku perihal kejadian itu. "Garang macam HARIMAU. Memang sesuai dengan logo Maybank."
Dek kerana stigma itu, hingga kini aku sukar untuk memilih Maybank jika bukan kerana terpaksa. Ya aku akui aku masih memiliki akaun Maybank kerana kerja lama ku dahulu memerlukan aku menggunakan akaun Maybank untuk pembayaran gaji. Tapi kini tiada keperluan untuk aku terus mengekalkan akaun itu. Aku tahu, aku bukanlah pelanggan yang membawa keuntungan pada Maybank, malah kalau aku menutup akaun ku pun mereka tak kerugian apa-apa. Tapi seharusnya sebagai salah satu institusi perbankan yang terkemuka sewajarnya staf-staf mereka dididik supaya lebih berlembut, bersopan dan jangan GARANG macam HARIMAU. Aku tak menuduh semua staf Maybank tak baik. Tapi kerana seorang staf wanita yang garang itulah mencalar imej Maybank dan sehingga kini bayangan insiden itu masih terpahat dalam ingatanku meski pun telah 9 tahun berlalu.
Sudahnya aku masih belum menentukan bank mana yang mahu ku pilih. Tapi yang pastinya bukan Maybank. Noktah.

No comments:

Post a Comment