Tuesday, February 15, 2011

hani lempengnya hangus

*ini bukan lagu ya.

sekarang ini ramai orang sudah ada belog sendiri. sana sini orang sibuk berbelog. di pejabat, di sekolah, hatta di dalam tandas sekali pun jika berkesempatan.
hani pun teringin punya belog dia sendiri. sahabatnya, rihana juga sudah punya belog sendiri. penuh dengan kisah-kisah lucu, kisah-kisah dunia khayalan dan juga kisah-kisah yang bisa membuat air matanya menitik.
akhirnya hani punya belog sendiri. belog hani biasa-biasa. tiada kisah politik. tiada cerita skandal artis. tiada cerita hantu. biasa-biasa. cuma berkisar kisah-kisah di sekelilingnya. apa sahaja yang terlintas di fikiran, itu yang akan ditaipnya. bila ideanya mencurah-curah, makin laju jari-jemarinya menaip.
pagi itu, hati hani rasa bagai digaru-garu untuk menulis sesuatu di dalam belognya. tapi idea tidak begitu lancar. tersekat-sekat. berpusar-pusar dan hilang. tenggelam timbul. makin dicuba makin letih. dan perutnya mula berdendang minta diisi.
hani menjenguk dapur. dia berkira-kira untuk membuat lempeng. lempeng tepung yang ringkas. sambil menyediakan lempeng, fikirannya juga ligat. idea yang berpusar-pusar tenggelam timbul makin lama makin jelas.
lekas-lekas hani menaip di dalam belog. kejap-kejap dia menjenguk lempeng dalam kuali leper. kejap-kejap dia menaip.
saat itu pula idea begitu lebat. bertali arus. jari-jemari juga semakin pantas mengetuk-ngetuk papan kekunci. begitu asyik hani menyiapkan entri bertajuk 'apa dalam fikiran anda?'.
noktah terakhir. hani senyum puas. entri itu berjaya disiapkan akhirnya. senyuman hani dengan pantas pudar apabila hidungnya terbau benda hangit.
alahai...

No comments:

Post a Comment