Monday, June 7, 2010

hujung minggu yang wangi...


hujung minggu datang lagi.
hujung minggu kali ini manis dan wangi. hari itu, budak perempuan montel yang selekeh menjelma menjadi perempuan lawa. semuanya kerana pertolongan si pari-pari yang menempek serbuk-serbuk magik di wajah budak selekeh itu. sungguh budak perempuan itu tidak percaya melihat pantulan mukanya di cermin. berubah 360 darjah. macam anak itik hodoh menjadi angsa cantik.
budak perempuan itu menunggang kuda hitam berteman pari-pari selepas jenuh menunggu putera kacak menunggang kuda putih yang entah bila akan muncul. barangkali lesen menunggang kuda putera sudah luput sebab itu putera tak muncul.
ini bukan putera idaman budak perempuan selekeh. sekadar gambar hiasan.

budak perempuan itu sangat kagum melihat istana yang besar dan mewah itu. seumur hidupnya, itulah istana paling glamer yang pernah dia jejaki. sempat budak perempuan itu berangan bagaikan puteri. memang benar-benar puteri. puteri tidur - itu gelaran yang diberi kawan budak perempuan itu kerana salah satu kesukaan budak perempuan itu adalah tidur.
dalam latar putih suci dan merah jambu yang manis, mata budak perempuan itu menangkap susuk tubuh putera bersut putih dan berdada bidang. kacak. begitu asyik budak perempuan itu merenung sehingga tidak sedar air liurnya menitik ke dalam gelas dan bersatu dengan air merah berperisa nenas.
sayang sejuta kali sayang. putera langsung tak menyedari kewujudan budak perempuan itu dalam perhimpunan manusia di istana itu. budak perempuan itu sedar diri. tubuhnya yang montel dan rendang manakan mungkin dapat menarik perhatian putera. tetapi budak perempuan itu tetap bertekad untuk mendekati putera walaupun sekadar dapat mencium wangi ketiak putera pun sudah memadai.
budak perempuan itu cuba bersabar. bersabar menunggu peluang mendekati putera. putera begitu sibuk melayan tamu. sekali-sekala putera melempar senyum pada hadirin yang membuatkan budak perempuan itu terpesona dengan kemilau putih gigi putera yang mungkin hari-hari ditenyeh ubat gigi cap kolget.
tetamu mula beransur pulang tapi budak perempuan itu masih belum mendapat peluang untuk mendekati putera. budak perempuan itu tak mahu terburu-buru kerana dia tidak mahu putera itu lari menjauhinya.
dalam sabar menunggu itu, mata budak perempuan itu tak lepas memandang bunga-bunga ros merah, merah jambu dan kuning yang bertebaran di seluruh istana. wangi bunga ros seolah-olah mencucuk hidung budak perempuan itu menariknya mendekati bunga-bunga ros seperti lembu dicucuk hidung.
sedang asyik melayan bunga ros, pari-pari berbisik. serbuk magik semakin pudar magiknya. dan serbuk magik mula bersememeh di bawah mata. saling tak tumpah seperti solekan emo. budak perempuan itu resah. dia tak mahu kelihatan hodoh di depan putera.
saat itu baru ingatannya terpaling dari bunga ros mengingati putera. ke mana hilangnya putera? budak perempuan itu ingin mencari putera tetapi ditahan oleh makcik yang menjual balang ajaib. riuh mulut makcik itu mempromosi balang ajaibnya tetapi budak perempuan itu tidak berminat. hati dan fikirannya hanya pada putera.
tapi jejak putera tidak dapat dikesan. sedih dan kecewa. susah payah budak perempuan itu menahan air mata dan hingus yang mengintai dari celah lubang hidung.  dia tidak mahu imej perempuan lawa menjadi perempuan lawak. budak perempuan itu memetik tiga kuntum ros dalam tiga warna untuk memujuk hatinya yang lara. harapannya semoga haruman ros itu mendekatkan hatinya dengan putera.
tiga kuntum bunga ros mula layu dahagakan air. pari-pari merendam tangkai ros dalam air magik untuk melambatkan bunga ros layu. hati budak perempuan itu begitu kepingin membawa bunga-bunga ros pulang bersamanya tapi budak perempuan itu bimbang bunga-bunga ros akan rosak semasa dia menunggang kuda hitam. dengan berat hati budak perempuan itu terpaksa meninggalkan bunga-bunga ros di teratak comel milik pari-pari selepas pari-pari berjanji untuk menjaganya.
budak perempuan itu memacu laju kuda hitamnya. ingatannya melayang pada putera kacak berdada bidang. kuda hitam pantas berlari meninggalkan teratak pari-pari. dan meninggalkan wangi bunga ros yang melekat di hati.

2 comments:

  1. hehe.. macam cerita khayalan dandogengan dahulu kala.. tapi wani memang comei.

    ReplyDelete
  2. cerita sebenar yang di'dongeng'kan...
    hehe... macih.. :)

    ReplyDelete